By Luciola Eberta Jovita. Powered by Blogger.
RSS

Akar sains modern ada pada warisan Islam




SEPERTI apa yang dikemukakan oleh ulama Abdullah Fahim, teras keislaman Melayu adalah tertumpu pada usuluddin (Abul Hasan al-Asy’ari), hukum-hakam (mazhab Shafii) dan tasauf (seperti yang dikemukakan dalam Sair al-Salikin karya Abd al-Samad al-Falimbani).

Ketiga-tiga aspek ini merupakan ciri penting agama Islam sejak zaman-berzaman. Usul fiqh dan kaedah fiqh dan beberapa bidang ilmu utama turut sama berkembang di sampingnya.

Ini juga menyuburkan dunia pemikiran Islam dan bukan semata-mata falsafah Yunani. Pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi bukan semata-mata cedokan Yunani tapi berlakunya penyaringan sekalipun masih belum murni sepenuhnya.

Di saat kelemahan Khalifah Uthmaniah umat Islam semakin terdedah pada kecerobohan dalam segenap segi dari dunia Barat. Suka didedahkan tokoh utama yang mengenali tamadun Barat menurut kaca mata Islam ialah Sheikhul Azhar Hasan al-Attar (w.1835M). Tokoh ini telah merestui muridnya yang terkenal Rifa’ah Rafi’ al-Tahtawi untuk mengkaji pelbagai perkembangan di Perancis.

Inilah ‘cerita sebenar’ cabaran antara Muslim dan Barat yang majoritinya non-Muslim. Jadi, Muhammad Abduh bukan tokoh perintis. Kajian ilmiah yang mendedahkan semata-mata hasil ijtihad Jamaluddin al-Afghani, Abduh dan Rashid Rida untuk mengenali tamadun Barat hanyalah merupakan kajian yang tidak teliti. Ini bukan bermakna mengetepikan langsung jasa mereka.

Akan tetapi, kajian yang tepat akan memandu tamadun Islam mendatang wujud dengan baik.

Hasil daripada fakta ini menunjukkan bahawa ‘akar’ sains moden telah dikenali oleh Sheikhul Azhar Hasan al-‘Attar. Ini dapat dilihat dalam karya-karyanya yang merespons teknologi ketenteraan, mekanik Newton, perkembangan dunia kimia dan seumpamanya.

Ini diakui dalam al-Hashiyah ‘ala Jam’ al-Jawami’ yang dijadikan teks dalam dunia pengajian tradisi dan talaqqi.

Al-Hashiyah merupakan rujukan penting dalam dunia pendidikan Islam tradisi yang telah diperturunkan dalam institusi pondok-pondok di Malaysia (dan juga di Syria). Kajian sains menemui persoalan yang perlu dijawab secara adil dan saksama.

Apakah pendidikan sains di Malaysia hanya belajar untuk menguruskan teknologi dari Barat? Atau, pendidikan sains untuk menemui teori dan perkakasan baru ?

Teori Relativiti dipercayai sekalipun tidak melalui eksperimen. Mengapa kita tidak berani mengkritik bahawa ia sebagai belum bersifat teori tapi masih hipotesis.

Sebenarnya dalam dunia sains kini terdapat dogma kerana kita berasa semua teori mereka telah muktamad. Ini merupakan kesilapan besar bagi pengamal sains dunia ketiga.

Dunia ketiga nampaknya masih ‘dipermainkan’ oleh gergasi pemilik teori dan perkakasan sains. Justeru, ekonomi kita berada di telunjuk mereka.

Adalah menarik untuk diperkatakan bahawa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah memperuntukkan jumlah yang agak besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi sejauh manakah keberkesanannya untuk memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Sementara itu, menyebut as-Shafii dan al-Ghazali bukanlah merupakan retorik politik semata-mata. Ini kerana majoriti intelektual moden menganggap al-Ghazali dan ortodoksnya telah melemahkan dan memundurkan umat Islam yang mana pendapat ini diketuai oleh orientalis Ignaz Goldziher.

Sesuai dengan keputusan penyelidikan yang menyatakan bahawa serangan al-Ghazali terhadap ahli falsafah adalah pencetus kemajuan dalam sains dan teknologi bagi abad berikutnya terutama dari segi penyedaran sikap di kalangan ilmuwan bahawa tradisi falsafah perlu dikritik.

Tokoh antarabangsa yang mengatakan al-Ghazali melahirkan model-model kreatif ialah Prof. Bruno Guiderdoni (nama Islamnya Abdul Haqq) yang merupakan Pengarah Astrofizik Perancis dan Prof. Roshdi Rashed (pakar matematik Islam di Pusat Sains Perancis).

Inovasi pasca-al-Ghazali boleh dilihat dalam Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam (8-14. Januari di KLCC) seperti Balai Cerap Samarkand dan lain-lain. Menurut Bruno Guiderdoni, kelahiran mekanik kuantum yang menggoncang mekanik Newton memberi peluang kepada aliran al- Ghazali dan Ibnu Arabi untuk ditonjolkan. Di Barat, mekanik kuantum, diungkapkan dalam buku The World’s 20 Greatest Unsolved Problems, bahawa “tanpa idea yang dikemukakan melalui mekanik kuantum, maka tidak akan ada telefon bimbit, pemain CD dan komputer riba. Mekanik kuantum bukanlah satu cabang daripada fizik. Ia adalah fizik itu sendiri.”

Kepentingan di sini ialah warisan tradisi pemikiran yang berada di negara ini tidak harus dipandang semata-mata sebagai warisan tetapi sebenarnya berupaya meneruskan penyelidikan dan pembangunan.

Mana-mana kementerian berkaitan harus sedar tentang kepentingan tradisi dibukukan dalam pelbagai bentuk dan perlu memberikan sokongan.


Oleh: MOHD ZAIDI ABDULLAH
Penyelidik di Pusat Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun.
Sources: http://www.utusan.com.my/utusan/

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komentar:

Post a Comment