By Luciola Eberta Jovita. Powered by Blogger.
RSS

Polemik Imam Mahdi




DALAM artikel bertajuk Siapa Imam Mahdi? boleh memberi ruang yang kepada ajaran sesat kerana penulisnya, Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor telah menyatakan dalam kesimpulannya, 'kemunculan Imam Mahdi bukanlah sesuatu yang berupa prinsip di dalam Islam. Ia boleh diterima atau ditolak, iman tidak bertambah atau berkurang semata-mata kerana kepercayaan Mahdi.''

Daripada kenyataan ini, menunjukkan bahawa Dr. Abdul Hayei menyetujui pendapat yang mengatakan bahawa persoalan Imam Mahdi adalah khilafiah. Pendapat sebegini sama seperti pendapat golongan al-Arqam dahulu.

Secara tidak langsung Dr. Abdul Hayei telah bersekongkol dengan hujahan al-Arqam yang mana telah diharamkan oleh kebanyakan keputusan fatwa di Malaysia.

Perlu diingat, persoalan Imam Mahdi adalah perkara iktikad yang mesti dipercayai oleh umat Islam. Untuk membuktikan pendapat Dr. Abdul Hayei bertentangan dengan keputusan fatwa maka di sini saya petik keputusan Jamaah Ulama MAIK sebagai berikut:- ''Setelah mengkaji dan berbincang dengan panjang lebar, maka Jamaah Ulama bersetuju manfatwakan seperti berikut:-

* Orang Islam sayugia beritikad lahirnya Imam al-Mahdi lagi akan datang.

* Imam yang dimaksudkan itu berupa khalifah yang memerintah dunia.

* Imam al-Mahdi adalah daripada keturunan Rasulullah s.a.w yang akan dibai'ahkan di antara rukun Hajarul-aswad dan Makam Nabi Ibrahim.

* Tentang di manakah duduknya Imam al-Mahdi itu, hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui.''

Keputusan fatwa bukan dibuat mengikut sesuka hati tetapi disepakati Jamaah Ulama pada ketika itu, sering dipengerusikan oleh al-Mufti al-Qari al-Musnid al-Muhaddis Muhammad Nor bin al-Mufti Ibrahim di samping Ustaz Ismail Yusof, Haji Hasan Mentuan, Tuan Guru Haji Abdurrahman Sungai Durian (1923-88), Tuan Guru Haji Abdullah Lubok Tapah, dan lain lain.

Keterangan tentang Imam al-Mahdi boleh juga didapati seperti Fawa'id al-Fikri Fi Imam il-Mahdi karya Syaikh Dawud al-Fathani, manuskrip ini dimiliki oleh Ustaz Wan Mohd. Shaghir.

Perkara ini telah ditimbulkan oleh Ashaari Muhammad ketika beliau memimpin al-Arqam dan pergi bermuzakarah dengan Tuan Guru Haji Abdullah (bekas guru di Masjidil Haram Makkah (1950-an), Ahli Fatwa Kelantan dan Dewan Syura MAIK) di mana Tuan Guru Haji Abdullah tetap menegaskan bahawa Imam Mahdi adalah perkara iktikad dan bererti tidak boleh dibuat main-main untuk berijtihad dengan diberi kepada sesiapa yang disukai manakala golongan al-Arqam tetap menegaskan Imam Mahdi adalah perkara khilafiah yang boleh diijtihadkan kepada sesiapa.

Atas dasar inilah al-Arqam berijtihad bahawa Syaikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi. Perkara ini turut saya sebut dalam buku saya yang bakal terbit bertajuk: Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal Jamaah: Suatu Kemurnian Dan Keluhuran Pegangan Hidup. Buku ini telah disemak dan disahkan oleh Tuan Guru Hj. Hashim, Tuan Guru Haji Abdullah, Ustaz Abdul Aziz Andik Achuk (ahli fatwa Selangor), Datuk Ambak (ahli fatwa Negeri Terengganu) dan beberapa orang lagi.

Seandainya, pendapat Dr. Abdul Hayei dimenangkan maka pendapat al-Arqam turut sama menang sedangkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah mengisytiharkan bahawa pegangan al-Arqam adalah sesat dan terkeluar daripada Ahli Sunah. Gejala sebegini akan memberi kekeliruan kepada umat Islam di Malaysia.

Nampaknya, Dr. Abdul Hayei berlagak pandai dengan minat berpendapat sendiri-sendiri dengan tidak mengambil peduli keputusan fatwa dan jumhur ulama sepanjang zaman.

Perkara subahat tentang Imam Mahdi telah dimulakan oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya bertajuk al-Muqaddimah.

Kenyataan Ibnu Khaldun turut ditentang daripada golongan Mazhab Maliki sendiri seperti Syaikh Muhammad al-Arabi. Ibnu Khaldun bukan termasuk di kalangan ulama hadis. Oleh itu, kata-kata beliau tidak wajar dijadikan hujah. Ini kerana al-Quran dan al-hadis menyarankan agar sesuatu persoalan dijawab oleh yang pakar di bidang berkenaan sahaja.

Kenyataan Dr. Abdul Hayei yang lagi dangkal ialah ''Banyak hadis yang tidak dapat difahami dengan betul pada suatu ketika dahulu kerana kecetekan ilmu, tetapi kini ia difahami dengan baik.''

Kenyataan ini amat bahaya kerana menganggap ulama silam tidak pandai sedangkan dengan sebab merekalah semua ajaran Islam dapat dinikmati pada hari ini. Mereka adalah bertaraf al-hafiz yang mampu hafal hadis 100,000 hadis malah ada yang bertaraf Amirul Mukminin Fil-Hadis dituduh secara mudah sebagai cetek ilmu oleh Dr. Abdul Hayei yang tidak bertaraf al-hafiz.

Dalam satu sabda, Nabi s.a.w menyatakan bahawa ilmu ditarik dengan matinya para ulama. Oleh itu, dalil ini terang dan jelas menunjukkan ilmu pada hari inilah yang cetek kerana sudah ramai ulama dalam tempoh 14 abad hijrah telah meninggal dunia. Bukti lain pula, banyak kitab-kitab ulama silam telah turut musnah sama ada dirosakkan akibat perang atau lain-lain. Secara hujahan kampungan, sekiranya Dr. Abdul Hayei beranggapan demikian kenapa semasa buat ijazah sarjana (MA) dan Ph.D, Dr. guna kitab lama sedangkan Dr. meremehkan mereka.

Ini adalah satu kecelaruan. Sekalipun Dr. bertempat maka mengikut etika keilmuan Dr. tidak patut bercakap tentang perkara yang bukan keahlian Dr.

Sekiranya Dr. mahu campur juga terhadap ilmu yang bukan bidang Dr. maka tunggulah kerosakan. Bertakwalah! Dan ingatlah ilmu adalah satu amanah.

Sehubungan dengan ini, al-Muhaddith Dr. Muhammad ibn 'Alawi ibn 'Abbas al-Maliki al-Makki, bekas kadi Mekah, pernah menyatakan bahawa sememangnya aku boleh berkata: ''Adakah boleh didapati antara ulama kini yang terdiri daripada lulusan doktor-doktor dan cerdik pandai akan tokoh yang mampu melakukan seperti kerja Syaikhul Islam Ibnu Hajar al-'Asqalani dan al-Imam al-Nawawi?

Kenyataan ini apabila terdapat ulama kini yang mula menyatakan golongan Asya'irah adalah sesat. Untuk makluman pembaca, karya beliau yang bertajuk Mafahim Yajibu An Tushahhah mendapat pengesahan daripada 35 orang ulama serata dunia Arab. Dari segi mutu, ini bermakna jauh lebih tinggi daripada pengesahan sesebuah Ph.d dari mana-mana universiti.

Dengan ini, kenyataan Dr. Abdul Hayei tidak benar sama sekali. Pemikiran Dr. Abdul Hayei sebenarnya yang cetek ilmu kerana tidak mampu membaca semua kitab yang ada di dunia Islam sama ada yang bercetak atau yang berupa manuskrip.

Kenyataan ulama kini tidak mampu membantah hujah ulama silam. Ramai ulama kini hanya mampu merujuk beberapa buah kitab sahaja. Itupun kitab-kitab hadis tersebut tidak diterima secara sah mengikut kaedah riwayat dan dirayah dan ada pula yang berbangga kerana telah mendapat Ph.D sedangkan kajian Ph.D bukan melibatkan semua bidang ilmu malah bersifat cabang bagi sesuatu topik.

Oleh itu, ilmu-ilmu Islam perlu dijaga dengan penuh amanah dan tidak boleh secara sewenang-wenang dikritik dengan hanya berpandukan lojik kerana lojik boleh membawa kepada fahaman Muktazilah.

Diharap Dr. Abdul Hayei mengutamakan kajian ulama silam yang terawal seperti kajian ulama sehingga tahun 500 Hijrah bukan suka memetik rujukan sekunder.

Untuk makluman pembaca, sebahagian kitab Arab yang dicetak mengandungi kesilapan yang tidak diketahui puncanya sama ada berpunca daripada pencetakan atau kerana cetek ilmu pentahkik.

Antara kitab yang terlibat seperti Kanzur Raghibin karya al-Mahalli, Sunan Abi Dawud.

Kitab sirah Ibnu Hisham terdapat lebih kurang 20 cerita sejarah yang daif. Kelemahan-kelemahan ini dapat dikesan apabila sesebuah kitab dikaji secara terperinci dari awal hingga akhir.

Dan penyelidikan saya terhadap sebilangan tesis sama ada MA atau Ph.D didapati untuk merangkul gelaran Dr. hanya perlu mengkaji topik-topik yang terlibat sahaja. Lebih-lebih lagi, berkenaan kajian di bidang sains sosial tetapi seandainya melakukan kajian di bidang sains tulen lebih memerlukan kajian teliti.

Di Malaysia, tidak ramai penyelidik yang bertaraf Ph.D yang melakukan kajian yang hebat. Sebahagian besar hanya sekadar untuk merangkul gelaran tertentu. Setakat ini, dalam bidang keislaman, dalam penelitian saya, antara tokoh-tokoh yang berwibawa dalam penyelidikan seperti Dr. Muhammad Naquib al-Attas, Dr. Osman Bakar, Dr. Muhd. Bukhari Lubis, Dr. Mat Rofa Ismail (dengan kajian utama dalam Sejarah Aritmetik Dan Aljabar Islam), Dr. Muhd. Salleh Yaapar, Ustaz Wan Muhammad Shaghir, Ustaz Datuk Ambak @ Abdul Aziz Ismail (ahli fatwa Negeri Terengganu), Allahyarham al-Mufti Muhammad Nor (tokoh ini diuji pembacaan qiraatnya oleh 20 orang sebelum mendapat ijazah di Makkah dan mendapat sinad ilmu-ilmu Islam daripada Syaikh Hasan Muhammad al-Masyath dan beberapa orang tokoh lagi.

Oleh: MOHD. ZAIDI ABDULLAH
Source :http://www.utusan.com.my/utusan/

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 komentar:

Post a Comment